Sunday, November 23, 2008
Bengkel Pemantapan Teater dan Monolog "Seorang Wanita Yang Hilang..."
Thursday, November 20, 2008
Thursday, November 6, 2008
Titah DYMM Sultan Perak
Berikut adalah Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada majlis penyerahan memorandum oleh Gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari Rabu.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.
Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.
Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita.
Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita.
Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.
Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu.
Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.
Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.
Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja.
Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.
Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.
Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.
Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.
Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.
Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Teater 'Kerusi'
Tarikh : 8 Nov 2008 (Sabtu)
Masa: 8.30 malam
Tempat : Dewan Bankuasi CARSEM, Jalan Lapangan Terbang, Ipoh
Maklumat Lanjut sila hubungi Pengerusi BBP 012-5071409
MASUK PERCUMA
BENGKEL TEATER TEMA NEGERI PERAK 2008
Saturday, November 1, 2008
AF Hussin
Sementara itu rakan Fasilitator PPSB dan juga penyair AF Hussin pula mengirimkan : Perkataan "BYE" adalah jarum sulit Kristian yang bermaksud di bawah naungan Pope. Dan jangan gunakan "A'KUM" kerana ia bermaksud 'binatang' dalam bahasa 'Ibrani (Yahudi), Semekom pula bermaksud 'celaka awak' atau apa-apalah selain Assalamu'alaikum. Gunakan "SALAM" untuk singkatan Assalamualaikum. Sama-samalah kita betulkan diri dari dosa yang tidak disengajakan.
Tentang Kesihatan AF Hussin, " Masih sakit, tidak banyak perubahan, mohon sahabat tolong doakan agar sembuh".
Pelakon Nasir Ali meninggal dunia

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pelakon teater, drama dan filem yang terkenal dengan watak jahat, Nasir Ali meninggal dunia kerana penyakit kencing manis di kediamannya di Bandar Sri Permaisuri di sini pada pukul 3.45 pagi tadi.
Menurut isteri Allahyarham, Kadariyah Yup, 55, suaminya menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami demam pada awal pagi tadi ekoran penyakit yang dideritainya itu sejak empat tahun lalu.
Allahyarham yang berusia 55 tahun dan berasal dari Taiping dan dibesarkan di Butterworth itu menghidap kencing manis yang serius.
Nasir juga pernah dinasihati oleh doktor agar memotong ibu jari kaki kirinya bagi mengelakkan ia merebak.
``Pada 13 Oktober lalu, arwah telah dibawa ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) di Cheras kerana penyakit yang dihidapinya itu. Doktor mencadangkan agar ibu jari kaki kirinya dipotong supaya penyakitnya tidak merebak.
``Tetapi Allahyarham enggan dan keesokan harinya dibenarkan keluar dari hospital tersebut. Sejak saat itu, beliau lebih banyak berehat dan berpantang di rumah,’’ katanya ketika ditemui di kediamannya di Apartmen Cemara di sini.
Jelas Kadariyah, awal pagi tadi, kesihatan Allahyarham yang mempunyai empat orang anak dan dua orang cucu itu semakin tenat apabila keadaan suhu badannya panas menyebabkan beliau menghubungi ambulans.
Kata isteri pelakon yang mempunyai ijazah seni lakonan dari National University of Dramatic Arts, Sydney, Australia pada tahun 1994 itu, beliau sempat membacakan surah Yassin sebelum Allahyarham meninggal dunia.
``Selepas saya habis membacakan surah Yassin di sisinya, suami saya kelihatan diam tanpa berkata apa-apa, tetapi saya melihat air matanya mengalir. Tidak lama selepas itu barulah beliau meninggal dunia,’’ ujarnya.
Allahyarham yang dilahirkan pada 17 Januari 1953 sewaktu hayatnya terkenal sebagai aktivis teater dan merupakan Presiden Grup Teater Arts Kreatif yang ditubuhkannya pada 1989 dengan aktif berlakon serta mengarahkan teater.
Antara teater lakonan dan arahan beliau berjudul Jebat, Orliana, The Three Sister, Mac Back, Konvensyen Gila, Pran, Bus Stop dan Orang-Orang Kecil, selain turut berlakon filem seperti Mekanik, Hingga Hujung Nyawa dan Senario The Movie.
Tambah Kadariyah lagi, sepanjang karier sebagai pelakon, antara kejayaan Allahyarham ialah beliau pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa menerusi drama Kurnia pada tahun 1995 dan Esah Swinger (1996).
Malah, Allahyarham juga pernah mengungguli anugerah Pengarah dan Pelakon Teater Terbaik pada 1987 menerusi teater berjudul Pran.
Nasir Ali atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Ali memulakan kerjayanya sebagai pelakon teater pada tahun 1974 dan Liku-Liku Hidup merupakan teater pertama lakonannya yang dipentaskan di Kompleks Budaya Negara (sekarang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) di Padang Merbok, Kuala Lumpur.
Drama terbaru lakonan Allahyarham berjudul Alahai Anak Omak dan Kepadamu Kekasih telah menjalani penggambarannya sebelum bulan Ramadan lalu dan ia akan ditayangkan di televisyen tidak lama lagi.
Utusan Online
P/s Terima kasih buat Saudara Shidee atas kiriman SMS makluman awal berita tentang Nasir Ali.

